"Gatal,"kataku sambil menggaru-garukan tangan yang gatal akibat
diserang dek nyamuk. Hatiku terasa sedikit panas kerana terasa seakan
di-provoke oleh nyamuk itu yang dengan selamba badaknya melakukan tawaf
mengelilingi kepalaku. Aku berusaha menahan amarah dalam diri sambil sabar
menanti nyamuk itu untuk sekali lagi menyerang tanganku.
Kesabaranku terbayar apabila nyamuk itu sekali lagi dengan penuh selamba
landing di atas tanganku. Inilah waktu kritikal. Aku tidak boleh tergesa-gesa
untuk menepuk nyamuk itu. Aku perlukan strategi. Aku membiarkan nyamuk itu
menikmati makanannya buat beberapa saat sebelum tanganku pantas menepuk nyamuk
yang sedang terleka itu.
"Kelepek!" (exaggerated sound effect)
Begitulah saat-saat terakhir riwayat hidup seekor yang nyamuk yang telah
pun ditakdirkan untuk menemui ajal dalam keadaan sebegitu. Namun, melihatkan
bangkai nyamuk yang rebah ke lantai itu, aku jadi terfikir sesuatu. Nyamuk itu
mesti tak sangka kalau ajalnya datang tatkala dia sedang sibuk mengisi perut. Kalaulah...
Kalaulah malaikat maut datang mengambil nyawa ini pada saat aku sedang terleka
daripada mengingati Allah... Hmm... Tak sanggup nak fikir lagi.
Kejadian ini mengingatkan aku bahawa ajal boleh datang bila-bila masa. Entah
bila. Entah bagaimana. Kematian pasti akan tiba. Bak kata Imam Ghazali, perkara
yang paling dekat dengan kita ialah kematian. Kematian tak akan datang
terlambat dan tak akan datang lebih cepat sebelum waktunya. Kematian akan
datang tepat pada masa yang ditetapkan oleh Sang Pemilik Nyawa. Kematian itu
sesuatu yang pasti! [Al- Anbiyaa', 21:35].
Mungkin pada saat kita terlalai dengan hal-hal duniawi, tanpa kita sedari
malaikat maut datang menjemput kita. Pada saat itu, bilakah masanya kita nak
bertaubat? Bilakah masanya kita nak buat u-turn? Semuanya dah tak sempat sedangkan kehidupan selepas mati adalah kehidupan yang kekal. Kehidupan selepas mati
adalah tempat kita meraih hasil yang kita kerjakan sewaktu kita hidup di dunia. Kalau
kita terlalu lalai mengejar kemegahan dunia, mungkin nasib kita nanti akan
menjadi seperti nasib si nyamuk itu. Na’uzubillah.
Itulah sebabnya kita tak boleh terleka walaupun sesaat daripada mengingati Allah. Bak kata Imam Ibn Taymiyyah, sebelum kita dapatkan syurga di akhirat, kita perlu dapatkan syurga di dunia dulu iaitu dengan mengingati Allah [Ar-Ra'd, 13:28]. Aku tahu, orang putih ada cakap, it's easier said than done. Tapi, mungkin kita boleh mula dengan sekecik-kecik perkara macam mengucapkan bismillah sebelum buat sesuatu dan niatkan setiap perbuatan yang kita lakukan kerana Allah.
Hatta, andai kita sibuk mencari harta dunia pun, kalau kita niatkan harta yang kita cari itu untuk menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah Allah, kita pasti takkan lupa untuk tunaikan kewajipan kita pada Dia. InsyaAllah, mungkin kehidupan kita di dunia ini takkan berakhir dalam keadaan kita terlalai dengan kesibukan duniawi. Macam sang nyamuk tadi.
Wallahu'alam.


